PEMERHATI / RAKAN2

Tuesday, March 10, 2009

apa nama?

Sehari selembar benang
mencarik pakaian
lambat laun akan telanjang.

Sehari sepatah kata
menoda bahasa
lambat laun kita hilang tamaddun bangsa..

Sehari seorang menteri
memperkaya diri sendiri
lambat laun tergadai negeri.

Sehari sekali ditembakkan
gas pemedih mata
lambat laun rakyat
tak nampak lagi istana.

Kepada siapakah lagi
tempat mengadu
ke air itik mati kehausan
ke kepuk ayam tak dapat
makan padi.

Bersuara akan jadi penghuni penjara
berpakat akan ditangkap
berkonspirasi menegakkan hak
akan dihukum penderhaka.

Makanya, untuk selamat
menjamin sejahtera duhai Melayu
teruslah kamu bisu dan dungu
teruskanlah memperkemas perhambaanmu
dan gilaplah bijaksanamu
mengampu dan membenteng
para pemimpinmu
meniduri anak isterimu.
dan kalau perlu biarkanlah
mereka berkongsi
menjimak ibumu.

Jangan sekali-kali lagi
kalian mengeluh
nikmati sahajalah habuanmu
dan dengarkan sajalah
tanpa gundah
perihal keraton yang sudah
entah ke mana penghuninya.


-Yassinsalleh
Pucong Perdana

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.