PEMERHATI / RAKAN2

Saturday, March 22, 2008

Contohi peribadi unggul Rasulullah

KUALA LUMPUR 20 Mac – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin menyeru umat Islam di negara ini mencontohi keunggulan peribadi Rasulullah dalam melaksanakan perintah Allah ke arah melahirkan sebuah masyarakat Islam yang unggul serta menjadi teladan kepada dunia.
Titah baginda, perjuangan Nabi Muhammad SAW telah berjaya membina kekuatan mental dan fizikal umat Islam sehingga mampu mencipta satu tamadun yang amat gemilang.
Justeru baginda bertitah, bagi memastikan perjuangan Rasulullah itu diteruskan, umat Islam masa kini perlu menjadikan budaya menuntut ilmu dan bekerja sebagai amalan seharian.
“Beta yakin dengan panduan al-Quran dan sunah Rasulullah, seluruh umat Islam di Malaysia mampu meneroka bidang ilmu terutama sains dan teknologi dengan lebih jauh lagi.
“Dengan ini, umat Islam akan mampu membina kekuatan dan pengaruh di kalangan masyarakat seluruh dunia,” titah baginda.
Dalam perkembangan sama, baginda bertitah, akal manusia yang dianugerahkan oleh Allah SWT juga berperanan untuk meneroka ilmu yang terdapat di dunia ini.
“Hanya melalui akal yang cerdas, insan mampu menerokai ilmu dan seterusnya berupaya membimbing masyarakat ke arah kegemilangan,” titah baginda.
Di dalam titah ucapan tersebut, baginda juga memberi penekanan mengenai pentingnya umat Islam bersama-sama berusaha serta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh keikhlasan.
“Begitu juga dalam usaha kita untuk mencapai kegemilangan. Ia sebenarnya memerlukan pengorbanan dan kegigihan. Insya-Allah dengan usaha gigih kita akan mendapat kejayaan dan keredaan Allah di dunia dan akhirat,” titah baginda.-utusan.com.my

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.