PEMERHATI / RAKAN2

Tuesday, October 7, 2008

Khalid jelas sebab pertikai 3M PAS-malaysiakini

Saranan agar PAS tidak terlalu menekankan syarat "majoriti Melayu-Muslim" (3M) sebelum menyertai kerajaan Pakatan Rakyat di peringkat persekutuan hanyalah untuk perbahasan, jelas timbalan pesuruhjaya II PAS Selangor.

"Ia adalah cetusan idea untuk difikirkan. Kalau semua syarat kita diterima dan menguntungkan kita, susah kepada parti-parti lain (dalam Pakatan Rakyat) menerima PAS," kata Khalid Samad ketika dihubungi Malaysiakini.Ahli parlimen Shah Alam diminta mengulas tulisannya di blog peribadinya yang menyifatkan syarat tersebut "agak sukar" memandangkan kebanyakan kerusi Melayu dipegang oleh Umno.

Dalam tulisannya itu, Khalid menyebut: "Saya tidak mahu mempertikaikan keputusan yang dibuat tetapi tidak boleh elak daripada memikirkan peristiwa perjanjian Hudaibiyyah."Sekiranya syarat-syarat yang menguntungkan dan menjamin kedudukan Islam sahaja yang boleh diterima, maka sudah pasati ia tidak akan ditandatangani.

"Malahan, syarat-syarat Hudaibiyyah bukan sekadar berat sebelah, Rasulullah (saw) terpaksa membenarkan kalimah 'Ar-Rahman' dan 'Ar-Rahim' serta istilah 'Rasullullah' digugurkan untuk memenuhi kehendak wakil kaum Quraisy.

"Namun Hudaibiyyah diisytiharkan sebagai kemenangan besar oleh Allah dan setelah beberapa tahun membawa kepada Fathul (Pembukaan) Mekah."

dap abolish isa forum 230908 khalid samad 02Dalam blognya juga, Khalid berkata: "Kadangkala kita kena lihat pada potensi sesuatu keadaan dan dengan mengambil kira potensi itu, perlu berani dan yakin terhadap pertolongan Allah untuk maju ke hadapan. Dengan itu, apa yang dilihat sebagai satu kerugian boleh berubah menjadi kejayaan.

"Perjuangan semestinya memerlukan pimpinan mengambil risiko yang dipertimbangkan terdahulu atau “calculated risk” (risiko yang diperhitungkan).

"Perjuangan yang tidak sanggup mengambil risiko tidak akan maju dan tidak akan ke mana-mana. Pemimpin yang tidak berani mengambil risiko tidak akan mampu mencapai kejayaan yang cemerlang."
"Oleh itu, jika dikaji secara objektif, beliau bertanya apakah risiko yang akan terpaksa kita hadapi sekiranya majoriti ahli parlimen Pakatan Rakyat adalah bukan Islam? Pada pandangan saya, amat minimum sekali.

"Pertama, Islam dan kedudukan Melayu dilindungi Perlembagaan (Persekutuan). Tuntutan perlembagaan akan pasti dipertahankan oleh semua institusi termasuk Yang di-Pertuan Agong.
"Kedua, sekiranya bermasalah dan terancam, PAS boleh keluar dari pada Pakatan Rakyat pada bila-bila masa dan pada ketika itu kerajaan PR akan terbubar dengan sendirinya," tambahnya.

Berbanding dengan risiko yang minimum ini, tegasnya, potensi kebaikan sebaliknya begitu menggunung sekiranya Pakatan Rakyat bawah kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya mengambil alih kuasa di peringkat pusat.

"Namun, potensi ini akan hanya tercapai sekiranya diusahakan. Ia tidak datang bergolek dan oleh itu mesti ada kesungguhan dan keyakinan terhadap kemampuan Islam untuk menawan hati semua yang melihat. "Kalau kita tidak yakin dengan potensi yang ada, lagi mudah melepaskan sahaja peluang ini tanpa mengambil apa-apa risiko," katanya.

"Mungkin masalah kita sekarang ialah kita tidak lihat perlunya rakyat Malaysia keluar daripada bawah pemerintahan Umno/BN. Pemerintahan zalim ini yang ditolak oleh rakyat kita anggap lebih baik daripada Pakatan Rakyat semata-mata kerana bilangan ahli parlimennya (nanti) bukan terdiri dari majoriti Melayu-Muslim.

"Maka amatlah malang sekiranya kita terpaksa melihat pada akhirnya kerajaan yang zalim dan korup gagal ditumbangkan kerana PAS!" tulis Khalid lagi.Mengulas lanjut maksud tulisannya itu, Khalid berkata, beliau menyamakan hal ini dengan perjanjian Hudaibiyah kerana ia memberi keuntungan pada masa depan kepada PAS dan Pakatan.

"Ia memberi persamaan (dengan perjanjian Hudaibiyah) kerana memberi keuntungan kepada kita (Pakatan) pada masa hadapan iaitu, BN tidak akan mengganggu kerana kita bentuk kerajaan dan pengiktirafan DAP kepada PAS," katanya.

Beliau menambah, antara manfaat lain yang diperolehi sekiranya Pakatan membentuk kerajaan ialah membolehkan demokrasi tertegak, media menjadi lebih bebas dan rakyat bebas membuat pilihan dan penilaian."Ia membuatkan kedudukan kita menjadi lebih kukuh," jelasnya.
Bagaimanapun, tegas Khalid, buat masa kini PAS akan terus bersama Pakatan selagi gabungan tiga parti besar itu memberi manfaat kepada perjuangannya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan agar PAS tidak tergesa-gesa keluar daripada Pakatan di peringkat pusat, sekiranya majoriti ahli parlimen gabungan pembangkang terdiri bukan Islam.
Sebaliknya, Khalid menyarankan agar PAS mengadakan muktamar khas untuk memutuskan kedudukan parti itu dalam Pakatan.

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.