PEMERHATI / RAKAN2

Saturday, March 14, 2009

BUKAN BEREMBANG TAPI BANGAU TANJUNG


Oleh KHAIRIL ABDUL RAHIM

TEMERLOH:
Gara-gara bantahan agresif penduduk, akhirnya Tenaga Nasional Berhad (TNB) terpaksa menghentikan serta merta kerja-kerja mengorek tanah untuk ditanam kabel elektrik di atas tanah mereka.

Arahan pemberhentian projek berkenaan telah dikeluarkan secara bersurat oleh Pejabat Tanah dan Daerah Temerloh pada 10 Mac lalu setelah persetujuan dicapai antara tiga pihak melibatkan pejabat daerah, TNB dan penduduk kampung Bangau Tanjung dekat sini.

Sebelum ini ketegangan tercetus apabila kira-kira 70 penduduk kampung tersebut telah bertindak membantah beramai-ramai akibat tidak berpuas hati dengan tindakan kontraktor TNB yang didakwa memasuki tanah mereka tanpa sebarang notis.

Difahamkan tanah mereka telah dikorek oleh jentera bagi tujuan pemasangan laluan kabel daripada pencawang Songsang untuk membekalkan elektrik kepada bangunan kedai di tapak pasar lama yang baru siap di bandar ini.

Berang dengan kerja-kerja yang dianggap mereka sebagai mencabul itu, penduduk telah menubuhkan jawatankuasa bertindak dan telahpun membuat laporan polis serta kepada pejabat Tanah dan Daerah.

Pengerusi jawatankuasa bertindak, Soleh Mohamed, 41, ketika menghubungi Siasah memberitahu pihak penduduk telah mendapat jaminan projek berkenaan dihentikan serta merta.

“Surat daripada pejabat daerah telah dikeluarkan mengarahkan pemberhentian serta merta projek mengorek tanah untuk menanam kabel di atas tanah penduduk itu”.

“Bagaimanapun penduduk masih tidak berpuas hati kerana kerja-kerja yang telah berjalan selama seminggu itu telah merosakkan tanah penduduk dan jalan kampung. Sekarang penduduk sedang berurusan dengan peguam untuk meminta pampasan,” jelasnya.

Sementara itu seorang penduduk yang mendakwa tanahnya terlibat dengan kerja-kerja pengorekan itu, Yusof Ali, 73, berkata apa yang mereka kesalkan penduduk langsung tidak diberitahu sama ada oleh pihak TNB atau wakilnya sehingga merasa kedudukan mereka sebagai tuan tanah tercabar.

“Penghulu dan ketua kampung juga tak beri penjelasan dan seperti lepas tangan sahaja. Mereka hanya mahu jumpa kontraktor sahaja dan tak mahu jumpa kami sedangkan tanah ini hak milik kekal kami. Jadi kami anggap ini satu pencerobohan”.

Seorang penduduk lagi, Nazri Sulaiman, 54, mempertikaikan pihak Jawatankuasa Keselamatan Kampung (JKKK) yang kononnya menyelesaikan masalah tetapi tidak kesampaian.

“Bulan Ogos tahun lalu ada pihak JKKK kumpulkan geran dan beritahu bertujuan untuk uruskan bayaran pengambilan tanah untuk projek ini. Tapi lepas itu cerita terus senyap dan tahu-tahu pihak kontraktor telah datang mengorek lubang”.

Bagi Roslan Ishak, beliau mahukan status sebenar projek berkenaan kerana tidak pernah diberi penerangan.

“Notis masuk kerja tidak ada dan papan tanda projek pun tidak ada. Notis daripada pejabat tanah juga tidak ada bahkan bila kami merujuk ke sana mereka tidak tahu menahu. Jadi kami tidak tahu status tanah yang diambil ini. Sebab itu kami mahu tahu siapa yang benarkan projek ini dijalankan atau atas arahan siapa kerja-kerja ini dibenarkan”.

“Kami mahu tahu adakah berlaku penyelewengan oleh mana-mana pihak sebab pihak kontraktor boleh bekerja tanpa merujuk kepada penduduk kampung sebagai tuan tanah. Kami mahu pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) nasuk menyiasat”.

Menurut penduduk, kerja-kerja menggali lubang itu telah cuba dilakukan sejak tahun lepas lagi tetapi acap kali terhenti kerana dibantah penduduk sehinggalah minggu lalu kontraktor TNB telah kembali melakukan kerja-kerja tersebut dengan kawalan kira-kira 20 orang anggota polis.

Tindakan tersebut dipercayai untuk menghalang orang kampung daripada menghalang kontraktor bekerja.

Mustafa Mohamed, 54, berkata penduduk telah mengizinkan tanah mereka diambil dulu untuk dibuat jalan utama.

“Kami dah banyak berkorban termasuk membenarkan pihak kerajaan mengambil tanah untuk dibuat jalan terus ke Lebuh raya Pantai Timur (LPT). Tapi kali ini kami betul-betul terkilan kerana tanah kami diambil lagi dan kali ini tanpa sebarang notis”.

Menurut Badaruddin Husin, 35, kesan kepada tindakan pengambilan tanah ini kerajaan kena selesaikan status tanah ini dulu termasuk memanggil juruukur untuk menetapkan batu pancang.

“Kalau status tanah jelas dan pengambilan tanah dibayar kami tak kisah sebab kami bukannya anti pembangunan bahkan kampung kami terletak hanya dua kilometer dari pusat bandar”.

Tapi susahlah, hasil tanah kami bayar penuh setiap tahun tapi tanah diceroboh tanpa minta izin dulu. Harapan kami kalu boleh minta pihak yang bertkewajipan adakan majlis dialog dan panggil kami dan perjelaskan status projek ini,” katanya.
-siasah-

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.