PEMERHATI / RAKAN2

Thursday, September 11, 2008

Kukuhkan institusi raja Melayu-malaysiakini

Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah mahu Umno melakukan usaha mengukuhkan institusi raja-raja Melayu bagi menguatkan lagi peranannya sebagai pelindung rakyat khususnya orang Melayu serta agama Islam.

"Bukannya kita hendak kuasa lebih tetapi kita perlu kaji supaya institusi ini tidak boleh diperkotak-katik, dipersenda atau diperkecilkan oleh mana-mana pihak," titah baginda dalam satu wawancara eksklusif dengan Khabar Pahang, akhbar rasmi kerajaan negeri Pahang.

Tengku Abdullah bertitah imuniti raja-raja, yang suatu ketika dulu telah dihapuskan secara tidak langsung, telah meletakkan institusi berkenaan berada dalam keadaan seolah-olah tidak kukuh dan mungkin menjadi tidak relevan, demikian menurut laporan Bernama.Namun, baginda berharap, semua pihak harus sedar dan memahami bahawa institusi raja-raja Melayu telah memainkan peranan berkesan dalam arus pembangunan negara selama ini.

Tengku Abdullah menjelaskan bahawa ketika tokoh-tokoh kepimpinan negara berjuang untuk mendapatkan kemerdekaan, wakil raja-raja Melayu turut menyertainya termasuk dalam rundingan yang diadakan di London.

"Dalam hubungan ini, bukan soal siapa lebih berkuasa antara eksekutif, kerajaan yang memerintah dan institusi raja-raja (tetapi) yang penting ialah raja-raja Melayu dan juga parti yang memerintah, mempunyai semangat untuk 'co-exist' supaya kesejahteraan dan kedaulatan negara sentiasa terpelihara," titah baginda.

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.