PEMERHATI / RAKAN2

Friday, August 15, 2008

Zulkifli Nordin berada di KL urus kes mahkamahnya

KULIM: Anggota Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Nordin yang dilaporkan 'menghilangkan' diri sejak Sabtu lalu kini di Kuala Lumpur untuk menguruskan kes perbicaraan mahkamah berhubung petisyen pilihan raya yang dikemukakan terhadapnya.Pembantu Khas beliau, Saari Fadhil Hud berkata Zulkifli telah menghubunginya memaklumkan perkara tersebut beberapa hari lalu.

Katanya, bekas peguam kepada penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim itu 'meminta diri' untuk menguruskan kes petisyen yang difailkan bekas calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Abdul Aziz Shiekh Fadzir terhadapnya untuk didengar di Mahkamah Tinggi Alor Star Selasa ini.
"Beliau akan pulang ke kawasan minggu depan dan meminta saya untuk menguruskan hal-hal Parlimen KulimBandar Baru termasuk berjumpa dengan orang ramai bagi menyelesaikan masalah berbangkit," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Saari, beliau juga cuba menghubungi Zulkifli selepas demonstrasi bantahan terhadap forum "Memeluk Islam" anjuran Majlis Peguam Sabtu lalu tetapi tidak berjaya."Namun, beliau hubungi saya kembali dan maklumkan kepada saya bahawa tiada apa perlu dirisaukan," katanya.
Pada 27 April lalu, Abdul Aziz mengemukakan petisyen bagi memohon Mahkamah Tinggi Alor Star untuk mengisytiharkan keputusan Pilihan Raya Umum ke12 bagi kerusi Parlimen Kulim/Bandar Baharu yang dimenangi Zulkifli sebagai tidak sah dan batal.
Zulkifli tidak mengemukakan penyata perbelanjaan bertanding di Parlimen Kuala Langat pada pilihan raya umum 2004 semasa penamaan calon Pilihan Raya Umum ke12 lalu.Pada pilihan raya umum 8 Mac lalu, Zulkifli memperoleh undi sebanyak 22,255 mengatasi Abdul Aziz yang mendapat 16,672 dengan majoriti 5,586 undi.
Semalam, polis sekali lagi menafikan berita yang tersiar dalam beberapa laman blog mendakwa Zulkifli ditahan polis atau di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Ismail Omar berkata, polis juga tidak menerima sebarang laporan mengenai kehilangan Zulkifli oleh anggota keluarganya.Pada 29 Sept 1998, Zulkifli pernah ditahan di bawah ISA selama 60 hari kerana terlibat dalam gerakan reformasi bersama Anwar dan kali terakhir beliau muncul di khalayak ramai ialah pagi Sabtu lalu ketika menyertai perhimpunan membantah forum itu. m-star,BERNAMA

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.