PEMERHATI / RAKAN2

Tuesday, August 12, 2008

Usul urusetia Melayu-Islam ala Suqiu

Pemuda PAS akan membahaskan usul mewujudkan satu sekretariat bersama dengan badan-badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan isu-isu Melayu dan Islam seumpama kumpulan pelobi Jawatankuasa Rayuan Pilihanraya Gabungan Persatuan China (Suqiu) dalam muktamarnya yang bermula esok.

"Penubuhan sekretariat tersebut bertujuan menyatukan pandangan semua kelompok yang memperjuangkan kepentingan Melayu-Islam," kata ketua penerangan dewan itu Suhaizan Kaiat kepada Malaysiakini hari ini.Beliau, yang juga ketua jawatankuasa usul Pemuda PAS, menjelaskan pertubuhan-pertubuhan itu boleh menyatukan orang Melayu-Islam.

Jawatankuasa usul ini memutuskan hal ini dalam mesyuaratnya malam tadi di ibu pejabat PAS, Kuala Lumpur.Usul penggabungan NGO Islam dan Melayu itu yang dibawa oleh Pemuda PAS Terengganu merupakan satu daripada empat usul yang diterima dan akan dibahas dalam persidangan dewan tersebut.

Suhaizan juga menjelaskan, jawatankuasa usul yang dianggotai oleh enam anggota Lajnah Penerangan Pemuda PAS menerima enam lagi usul tanpa bahas.Persidangan dewan itu dijadual dirasmikan oleh timbalan presiden PAS Nasharuddin Mat Isa jam 8 malam di Stadium Tertutup Indera Mulia, Ipoh.

Dewan Pemuda PAS sendiri mengusulkan penyokong bukan Islam PAS diberi lebih peranan dalam parti itu, tambah Suhaizan, khususnya setelah melihat senario sokongan mereka dalam pilihanraya umum Mac lalu."PAS harus memberi peluang yang lebih kepada mereka agar mereka lebih selesa dengan PAS," katanya.Beliau menyerahkan kepada muktamar PAS untuk memperhalusi peranan dan peluang yang akan diberikan kepada kaum bukan Islam.

Usul ketiga, yang dibawa oleh Perlis dan Johor, berhubung peranan PAS dalam Pakatan Rakyat.
"Perlu ada beberapa penegasan agenda PAS dan diharap dapat diterima dan dilaksanakan dalam Pakatan Rakyat," kata Suhaizan.Diminta mengulas lanjut agenda PAS yang perlu diterima dan dilaksanakan dalam gabungan tiga parti pembangkang itu, beliau berkata:

"Agenda yang berkaitan dengan kepentingan rakyat dan agama Islam terutama di negeri-negeri Pakatan Rakyat." Usul tersebut, tambah Suhaizan, dijangkakan memanaskan lagi perbahasan di persidangan dewan tersebut yang bermula 8.30 pagi lusa.

Usul keempat, jelasnya lagi, yang dibawa daripada perwakilan Johor menegaskan isu kedaulatan negara dengan mendesak kerajaan memperhalusi perjanjian Malaysia dengan Singapura.Usul tersebut diterima berikutan terlepas Pulau Batu Putih kepada Singapura pada Mei lalu.

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.