PEMERHATI / RAKAN2

Thursday, August 14, 2008

Implikasi pemilihan Arif Shah sebagai penentang Anwar

Pemilihan Adun Seberang Jaya itu sebagai calon BN bagaimana pun menimbulkan tanda tanya dan segera mengundang tanggapan sinis terhadap parti pemerintah itu.

Pertama, pemilihan itu menggambarkan betapa BN mengakui ia sukar memenangi kerusi berkenaan. Calon yang diletakkan itu hanya sekadar menghalang Anwar daripada menang secara percuma.

Secara tersirat optimisme Anwar dan Pakatan Rakyat dalam memenangi pilihan raya kecil ini sesuatu yang tidak dapat diatasi BN. Rata-rata pemimpin BN sudah membayangkan bahawa kerusi berkenaan bukan milik mereka�Kita sebagai �underdog� di Permatang Pauh�, kata Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Muhammad Muhd Taib beberapa hari lalu.

Nada serupa turut disuarakan para pemimpin BN lain. Mengambilkira kawasan berkenaan adalah pangkalan tradisi Anwar, BN tidak mahu dilihat terlalu bersungguh menentang bekas timbalan perdana menteri itu. Apatah lagi bayangan kekalahan sudah agak jelas.
Bagi BN, sekiranya kalah sekali pun, ia tidak kerugian apa-apa. Kekalahan BN tidak akan menjejaskan kedudukan bakal calonnya ini sebagai seorang yang telah menjadi wakil rakyat.

Kedua, pemilihan Arif Shah sebagai calon BN boleh dianggap sebagai penyelesai kepada krisis dalaman Umno sendiri. Parti itu kini berhadapan pelbagai masalah yang sukar ditangani, terutama berkaitan proses pemilihan jawatan di pelbagai peringkat parti itu yang sedang berlangsung.

Meski pun nama Arif Shah turut disebut sebagai salah seorang pemimpin yang bakal merebut jawatan Ketua Umno Bahagian Permatang Pauh nanti, pertarungan sebenar di bahagian berkenaan adalah dikatakan antara penyandangnya, Datuk Abdul Jalil Abdul Majid dan timbalannya, Datuk Pirdaus Ismail.

Sebagai bekas calon di kerusi berkenaan dalam dua pilihan raya umum lalu, Pirdaus disebut-sebut sedari awal sebagai bakal dipilih semula kali ini. Bagaimana pun, mengambilkira kesungguhannya merebut jawatan tertinggi bahagian itu, pemilihannya sebagai calon dibimbangi akan memburukkan perpecahan dalaman Umno setempat.

Sudah tentu andai terpilih sebagai calon, ia akan memberi �kemasyhuran� dan kesan positif kepada Pirdaus berbanding pesaingnya dalam pemilihan parti nanti. Maka pemilihan selain mereka berdua akan mengelakkan perpecahan lebih serius di kalangan dalaman Umno.

Ketiga, pemilihan seorang yang telah bergelar wakil rakyat sebagai calon juga mengundang tanggapan seolah-olah BN terlalu ketandusan tokoh berwibawa untuk diketengahkan. Apakah sudah tidak ada pemimpin lain selain Adun untuk dipilih BN?Persoalan serupa pernah timbul sebelum ini apabila Perdana Menteri terpaksa memilih beberapa tokoh dari kalangan bukan Ahli Parlimen untuk mengisi jawatan dalam kabinetnya, Mac lalu.

Sehinggakan, bukan sahaja mereka yang di luar sana diseret masuk, malah seorang Adun dari Pahang yang telah dilantik Exco Kerajaan Negeri juga terpaksa dipilih bagi menyelesaikan keperluan itu. Sedangkan masih ramai Ahli Parlimen BN yang belum dilantik mengisi apa-apa jawatan penting kerajaan. Koman sangatkah mereka yang lain itu sehingga tidak layak dipilih?

Keempat, Presiden Umno masih gagal meyakinkan anak-anak buahnya tentang kejujuran Mohamed Ezam Mohd Nor membantu parti itu. Ternyata kemasukan Mohamed Ezam yang disambut dengan penuh gembira oleh Presiden Umno, masih belum diterima baik oleh akar umbi Umno.

Bekas Ketua Angkatan Muda PKR itu sebelum ini dianggap banyak pihak sebagai calon terbaik buat BN menentang Anwar. Beliau mendakwa banyak mengetahui rahsia Anwar dan mampu merobek kepercayaan rakyat terhadap pemimpin pembangkang itu.

Mohamed Ezam sendiri malah siang-siang lagi menawarkan diri untuk dipilih sebagai calon BN. Bagaimana pun, apabila BN mencalonkan orang lain, bererti suara dan peranannya tidak begitu dilayan kalangan Umno sendiri.BN nampaknya hanya bersedia memperalatkannya sebagai tukang syarah dan belum bersedia memberikannya kedudukan lebih istimewa, termasuk sebagai calon. - (tmj)_harakahdaily

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.