PEMERHATI / RAKAN2

Saturday, August 23, 2008

K'jaan Perak tuntut BPR, media mohon maaf

Kerajaan negeri Perak hari ini memberi tempoh 24 jam kepada Badan Pencegah Rasuah (BPR) dan semua media cetak dan elektronik untuk membuat permohonan maaf secara terbuka ekoran penyiaran laporan yang telah mencemarkan nama baik dua anggota exconya.

Menteri Besar Perak Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin berkata, kerajaan negeri akan mengambil tindakan undang-undang dengan meminta gantirugi daripada pihak terbabit yang telah membuat dan menyiarkan laporan mencemarkan nama baik dua anggota exco berkenaan.
Nizar Jamaluddin memberitahu demikian dalam satu sidang media bersama selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan exco negeri.

Menurut Bernama, hadir sama di sidang media itu ialah Exco Kanan kerajaan negeri Datuk Ngeh Koo Ham yang juga Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Tenaga, Air dan Hal Ehwal Bukan Islam; Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Kerajaan Tempatan dan Perumahan Nga Kor Ming serta kedua-dua exco terbabit.

Jamaluddin Mohd Rozi dan Mohd Osman Mohd Jailu - dua orang exco daripada PKR dalam kerajaan campuran tiga parti melibatkan juga DAP dan PAS - ditahan kelmarin bersama dua ahli perniagaan, seorang ahli Majlis Daerah Perak Tengah dan seorang juruteknik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP), berhubung dakwaan rasuah membabitkan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar, di selatan Ipoh.

Menurut Nizar, BPR membuat dakwaaan palsu berhubung penahanan dua exco kerajaan negeri itu dalam siasatan kes rasuah.Bercanggah dengan dakwaan BPR, Nizar berkata, kedua-duanya tidak ditahan di sebuah hotel atau kerajaan negeri telah meluluskan projek perumahan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar.‘Tidak perlu gantung kerja'

Selain itu, Mohammad Nizar berkata dua anggota exco kerajaan negeri Perak yang dibebaskan daripada tahanan reman bagi membantu siasatan kes rasuah berkenaan tidak perlu digantung tugas bagi tujuan siasatan lanjut.Katanya, penggantungan tugas kedua-dua exco itu tidak perlu kerana dakwaan mereka terbabit dalam kes berkenaan tidak dibuktikan."Kita akan benarkan proses undang-undang dilaksanakan dengan mengikut ketetapan dan fitrahnya. Kita tidak akan menghalang proses undang-undang," katanya.

Beliau berkata tidak ada peraturan dalam perkhidmatan kerajaan yang menetapkan mereka yang ditahan reman berhubung sesuatu kes perlu digantung tugas.Katanya pentadbiran kerajaan negeri juga tidak terjejas dengan penahanan reman dua anggota exco berkenaan, sebaliknya mereka masih meneruskan tanggungjawab dan menghadiri mesyuarat mingguan kerajaan negeri hari ini yang berlangsung mulai 10 pagi selepas dibebaskan.

"Kita akan meneruskan kerja-kerja kita sebagaimana yang diberikan mandat oleh rakyat negeri Perak untuk kita mentadbir dan kita mahu menyatakan dengan sejelas-jelasnya bahawa kerajaan negeri tetap melawan dan menentang apa-apa elemen rasuah serta apa-apa sahaja penyalahgunaan kuasa," katanya.

Semalam Mahkamah Tinggi di Ipoh membebaskan seorang anggota exco kerajaan negeri dan empat yang lain yang ditahan reman oleh BPR manakala hari ini seorang lagi anggota Exco dibebaskan daripada tahanan reman yang dikenakan terhadapnya.LAGI

SEMANGAT 99-UNTUK PETUGAS DAN PENDUDUK PERMATANG PAUH

No comments:


Setiap artikel yang ditulis adalah di bawah tanggungjawab penulis.
Bagaimanapun artikel yang dicopy dari sumber lain, bukanlah tanggungjawab penulis.
Ianya sekadar satu perkongsian maklumat atau bahan untuk ditimbang dan dikaji kebenarannya.